fb fb fb fb fb

Pertimbang pekerja asing dari negara sumber baharu, tidak bergantung kepada negara sumber tradisi - PM

(FOTO PMO)

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Tiga perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini iaitu pengambilan pekerja asing, mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam dan sekuriti makanan.

Dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata kerajaan mendengar keluhan dan pandangan dari pemain industri berkaitan pasaran buruh negara yang kini berdepan dengan kekurangan tenaga kerja asing yang kritikal.

Katanya, kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan pihak swasta melalui sesi libat urus yang berterusan.

"Mesyuarat menetapkan beberapa keputusan, antaranya kerajaan kekal komited bagi mendepani isu dan cabaran pengambilan pekerja asing dengan mengambil beberapa pendekatan.

"Pertama, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama pihak industri, persatuan perniagaan dan pihak berkenaan mengadakan pertemuan secara bersemuka bagi menyelesaikan isu-isu pengambilan pekerja asing sehingga penghujung Julai ini.

"Kedua, majikan digesa untuk mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber yang diluluskan dan tidak bergantung kepada negara sumber tradisi sahaja.

"Ketiga, KSM digesa mempercepatkan pelaksanaan proses temuduga majikan dengan menambah bilangan penemu duga di One Stop Centre (OSC) mengikut zon dan negeri-negeri," katanya menerusi kenyataan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mempengerusikan
Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini / FOTO PMO)

Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail berkata bagi mengurangkan kerenah birokrasi, program MyMudah yang dilaksanakan di peringkat kementerian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ditambah baik dengan penubuhan Unit MyMudah bagi kementerian yang belum melaksanakannya, termasuk penubuhan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Pada mesyuarat sama, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga diminta melaksana program berkaitan sekuriti makanan yang telah dipersetujui kerajaan dengan segera.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara yang sudah dipersetujui kerajaan dengan segera.

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri diselesaikan dengan segera melalui usaha sama oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia secara inklusif dan menyeluruh," katanya.

Media Baharu