fb fb fb fb fb

Bekalan ubat-ubatan pulih dalam tempoh dua minggu - Noor Azmi

(Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali ditemu bual media selepas merasmikan
Seminar Saintifik Institut Kesihatan Negara (IKN) di Shah Alam, Selangor)

SHAH ALAM, 19 Julai - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di farmasi dan fasiliti kesihatan swasta dijangka kembali normal dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, pihaknya menyedari mengenai kekurangan stok tersebut dan berusaha menyelesaikannya dengan pelbagai persediaan dan pendekatan segera untuk keperluan rakyat.

"Kita sedang berusaha seperti yang telah diterangkan oleh Yang Berhormat Menteri, usaha yang telah dilakukan kita harap benda itu (kekurangan bekalan) akan selesai dalam seminggu dua ini Insya-Allah," kata beliau selepas merasmikan Seminar Saintifik Institut Kesihatan Negara (IKN), di sini.


(Foto fail)

Tambah Noor Azmi, kekurangan ubat-ubatan itu berlaku ekoran permintaan tinggi susulan penularan COVID-19 menerusi varian Omicron, peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta jangkitan Influenza di seluruh negara baru-baru ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit.

Media Baharu