fb fb fb fb fb

Perkhidmatan penjagaan spiritual, akan disediakan di hospital kerajaan seluruh negara - Idris Ahmad

SUNGAI BULOH, 19 Julai - Perkhidmatan penjagaan spiritual akan diperluas ke semua hospital awam seluruh negara sebagai salah satu kaedah rawatan pemulihan rohani dan emosi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ia penting sebagai salah satu pendekatan untuk mengetengahkan penyucian jiwa bagi mengelakkan berlakunya gejala kemurungan dan juga tekanan.

(Datuk Idris Ahmad)

"Satunya ialah sepertimana kita sedia maklum bahawasanya kehidupan manusia ini dia perlukan kepada makanan spiritual dan juga makanan secara jasmani, makanan secara jasmani telah ada dan makanan secara spiritual ini perlu ada juga.

"Begitu juga perubatan ini selain daripada yang kita sudah buat itu adalah lebih kepada soal untuk dalam bentuk jasmani, dalam bentuk luaran sebagainya dan satu lagi ialah kita tidak lupa untuk kita melengkapkan dengan program spiritual," katanya.

Datuk Idris berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Sungai Buloh bagi Projek Rintis Perkhidmatan Penjagaan Spiritual di hospital tersebut.

Projek rintis itu diwujudkan sebagai salah satu usaha awal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyediakan Perkhidmatan Penjagaan Spiritual (Spiritual Care) di semua fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ianya akan disediakan di hospital kerajaan seluruh negara secara berperingkat.

Media Baharu