fb fb fb fb fb

Buktikan kemampuan, harumkan nama negara di Sukan Komanwel 2022 - Ismail Sabri

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 Julai - 'Berjuang habis-habisan dan buktikan keupayaan untuk diri dan Keluarga Malaysia'.

Itu harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap wira dan wirawati negara yang akan berjuang di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Katanya, kejayaan tidak akan diraih tanpa semangat juang yang tinggi dan persiapan terbaik.

(FOTO BERNAMA)

"Pepatah Melayu ada mengatakan genggam bara api biar sampai jadi arang menunjukkan keluarga Malaysia perlu memiliki keazaman untuk meraih dalam apa juga yang dilakukan.

"Kalah menang adat pertandingan, tapi tunjukkan kepada dunia semangat perjuangan anak-anak Malaysia, semangat Harimau Malaya yang sebenar-benarnya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, di sini.

Datuk Seri Ismail juga yakin kontinjen negara mampu merealisasikan sasaran pingat yang telah ditetapkan di temasya tersebut.

"Saya yakin, hari ini saya berdiri di sini saya melihat atlet-atlet yang berada di depan saya, saya yakin bendera Malaysia akan berkibar megah di Birmingham dan lagu negaraku akan berkumandang di bumi Birmingham. Bangkitlah demi Keluarga Malaysia, bangkitlah demi Malaysia," katanya.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Kontinjen negara disertai 162 orang merangkumi 105 atlet, 44 pegawai dan 13 kakitangan sekretariat.

Media Baharu