fb fb fb fb fb

Kedai GISBH di Terengganu banyak ditutup

Tinjauan RTM mendapati kebanyakan premis perniagaan GISBH ditutup

KUALA TERENGGANU, 22 September - Beberapa premis perniagaan yang dikendalikan oleh GISB Holdings (GISBH) di Terengganu, termasuk di bandaraya Kuala Terengganu dan Gong Badak, didapati telah ditutup sejak Khamis lalu.

Tinjauan RTM mendapati restoran dan kedai bakeri GISBH di beberapa lokasi tersebut tidak lagi beroperasi seperti biasa.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin ketika dihubungi RTM berkata, bahawa pihaknya akan mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa yang ada serta keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

"Kami sedang menunggu hasil siasatan sama ada organisasi ini terlibat dengan unsur ajaran sesat atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi RTM Terengganu.

Beliau turut memaklumkan bahawa pegawai dan anggota bahagian penguatkuasa JHEAT akan terus memantau aktiviti GISBH di negeri ini.

"Pemantauan rapi sedang dijalankan bagi memastikan tiada kegiatan menyalahi undang-undang berlaku," tambahnya lagi.

Semalam, RTM melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 155 orang suspek melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita di 82 premis milik GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dalam Op Global Fasa 4 di seluruh semenanjung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan itu dibuat susulan serbuan di premis melibatkan rumah amal, klinik premis perniagaan, Ma’ahad dan rumah persendirian.

Dalam operasi itu seramai 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita telah berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

BERITA BERKAITAN:

 

 

GRACE AISYAH KEDAYAN