PUTRAJAYA, 21 September – Festival Budaya Putrajaya 2024 yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dilihat berpotensi besar untuk menjadi platform utama dalam mempromosikan seni, budaya, dan warisan Malaysia kepada pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa.
Festival selama tiga hari itu merupakan persiapan penting menjelang Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata festival ini adalah sebahagian daripada hasrat Perdana Menteri untuk menjadikannya acara tahunan yang menonjolkan warisan budaya negara.
"Kita akan teruskan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan acara ini sebagai persembahan warisan budaya kita, dan saya yakin prestasi ini akan membawa manfaat menjelang ASEAN 2025 dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya ketika ditemui selepas acara kemuncak majlis perasmian Malam Gala Warna-Warni MADANI di Putrajaya, malam tadi.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, turut menegaskan kepentingan tahun hadapan dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi utama di Asia, bukan hanya di peringkat ASEAN.
"Tahun depan amat penting bagi kementerian kita dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama, terutama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Banyak program akan direncanakan untuk mencapai matlamat ini," jelasnya.
Festival Budaya Putrajaya ini padat dengan pelbagai program menarik, menjadikannya salah satu destinasi tarikan utama bagi pelancong di masa hadapan.