Al-Quran dan Ramadan: Menghayati bulan turunnya wahyu

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan ialah bulan turunnya al-Quran, menjadikan bacaan al-Quran sebagai penghormatan kepada wahyu Ilahi.
  • Perbanyakkan bacaan dan tadabbur untuk merebut keberkatan Lailatul Qadr serta ganjaran dilipatgandakan.
  • Jaga kualiti bacaan, adab dan konsistensi supaya Ramadan menjadi latihan rohani membina ketakwaan.

Apabila tibanya bulan Ramadan, kita sering mendengar seruan agar memperbanyakkan bacaan al-Quran. Di masjid dan surau, kumpulan tadarus dibentuk, bacaan dilakukan secara bergilir dan ramai berusaha mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali sepanjang bulan mulia ini. Mengapakah Ramadan begitu sinonim dengan al-Quran?

Jawapannya jelas kerana pada bulan inilah al-Quran diturunkan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza antara yang benar dan yang batil.” (Surah al-Baqarah: 185)

Ayat ini menunjukkan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi bulan turunnya wahyu yang menjadi pedoman hidup manusia. Membaca al-Quran dalam Ramadan bererti kita menghidupkan kembali peristiwa agung penurunan kitab suci tersebut.

Keistimewaan Ramadan bertambah dengan turunnya al-Quran pada Lailatul Qadr. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-Qadr.” (Surah al-Qadr: 1)

Lailatul Qadr ialah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam Ramadan bermakna kita merebut peluang keberkatan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

Lebih menarik lagi, Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh terbaik dalam memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, disebut bahawa Jibril AS akan menemui Nabi SAW pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran bersama Baginda.

Pada tahun kewafatan Baginda, tadarus itu dilakukan sebanyak dua kali. Hadis ini menjadi dalil jelas bahawa Ramadan adalah waktu memperbanyakkan bacaan dan semakan al-Quran.

Apabila berbicara tentang bacaan al-Quran, timbul pula galakan untuk mengkhatamkannya. Ulama terdahulu memberi perhatian besar terhadap amalan khatam, khususnya dalam Ramadan. Al-Suyuti meriwayatkan ada yang mampu mengkhatamkan al-Quran empat kali sehari semalam, ada yang tiga, dua dan ada juga sekali dalam sehari semalam. Ini menunjukkan betapa tingginya semangat mereka terhadap al-Quran.

Namun, yang lebih penting ialah menjaga kualiti bacaan. Tidak wajar membaca terlalu cepat sehingga mengabaikan tajwid dan penghayatan. Setiap individu perlu menyusun masa dengan baik agar bacaan dilakukan secara konsisten tanpa menimbulkan rasa jemu. Secara ringkasnya, terdapat lima sebab utama mengapa kita digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam Ramadan.

Pertama, Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran. Membacanya pada bulan ini merupakan bentuk penghormatan kepada wahyu Ilahi.

Kedua, hanya dalam Ramadan terdapat Lailatul Qadr, malam turunnya al-Quran yang penuh keberkatan.

Ketiga, ketika al-Quran diturunkan, langit dikawal daripada gangguan jin dan iblis. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan hadis Nabi SAW bahawa syaitan dibelenggu dalam Ramadan.

Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Hulaimi bahawa maksud dibelenggu itu ialah para syaitan tidak dapat memberi gangguan seperti biasa kerana umat Islam sibuk dengan puasa, bacaan al-Quran dan zikir. Puasa melemahkan syahwat, manakala al-Quran menguatkan jiwa.

Keempat, Ramadan ialah bulan ganjaran dilipatgandakan. Setiap huruf al-Quran diberi pahala, apatah lagi dalam bulan yang penuh rahmat. Peluang ini seharusnya direbut dengan memperbanyakkan bacaan dan tadabbur.

Kelima, Ramadan merupakan bulan latihan rohani. Puasa mendidik kita menahan diri daripada perkara yang dihalalkan, manakala al-Quran mendidik hati dan fikiran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Apabila puasa dan al-Quran digabungkan, lahirlah ketakwaan yang menjadi matlamat utama Ramadan.

Pada zaman ini, alasan kesibukan atau ketiadaan mushaf tidak lagi relevan. Pelbagai aplikasi al-Quran boleh dimuat turun secara percuma dan dibawa ke mana sahaja. Bacaan boleh disambung dari tempat terakhir dan diurus dengan lebih mudah. Kemudahan ini sepatutnya mendorong kita untuk lebih istiqamah.

Namun begitu, adab membaca al-Quran tetap perlu dijaga. Kita hendaklah memastikan diri dalam keadaan suci, menutup aurat dan menghormati al-Quran walaupun membacanya melalui peranti digital.

Kesimpulannya, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi bulan turunnya al-Quran iaitu kitab terakhir peninggalan Rasulullah SAW kepada umatnya. Keistimewaan ini tidak berlaku pada bulan lain. Justeru, selain menahan lapar dan dahaga, marilah kita memperbanyakkan bacaan al-Quran dalam Ramadan sebagai tanda syukur dan penghargaan terhadap wahyu Ilahi.

Jadikan Ramadan sebagai pemangkin untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan al-Quran. Biarlah bulan ini menjadi latihan rohani agar selepas Ramadan berlalu, amalan membaca al-Quran terus subur dalam kehidupan seharian sehingga kita dipertemukan kembali dengan Ramadan yang akan datang.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Sahlawati Abu Bakar
Pensyarah
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor
e-mel: sahlawati@uis.edu.my