fb fb fb fb fb

Kembara Merdeka @ Galas santuni 5,000 Orang Asli pedalaman

Foto FB Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan

GUA MUSANG, 24 Ogos - Seramai 120 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan menempuh perjalanan hampir 300 kilometer laluan jalan balak bagi menyantuni lebih 5,000 penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman daerah Gua Musang, Kelantan bersempena program Kembara Merdeka @ Galas 'Be Ades Ma Kampung'.

Program selama empat hari bermula Rabu lalu membabitkan empat buah pos penempatan iaitu Pos Hau, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, lebih 2,000 Jalur Gemilang diagihkan kepada penduduk kampung Orang Asli bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Peserta kembara yang singgah di beberapa lokasi turut menganjurkan aktiviti yang membangkitkan semangat patriotik.

"Kita nak menyemarakkan semangat patriotik kepada warga di pedalaman. Kita nak warga di pedalaman merasai bulan Ogos ini, sebagai bulan kemerdekaan. Menerusi program ini, kita edarkan Jalur Gemilang kepada semua kampung yang kita singgah dan turut bersama-sama penduduk kampung menyanyikan lagu patriotik, sekali gus mengingatkan mereka tentang Rukun Negara," menurut Mohd Syahbuddin.

Bagi peserta kembara biarpun berdepan pelbagai cabaran, terutama keadaan jalan yang rosak teruk, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk bertemu penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman.

"Apa yang saya teringat bila masuk ke tempat penduduk Orang Asli adalah keikhlasan senyuman mereka. Kalau kita bagi sesuatu, mereka akan menghargai. Mereka teruja dan semenangnya menantikan kembara yang dilaksanakan oleh ADUN pada tiap-tiap tahun. Berbaloi datang dan menyantuni mereka, walaupun ada yang terkandas berkali-kali disebabkan keadaan jalan yang mencabar," kata peserta, Nurulasyikin Tuan Mustapha.

"Bila kita buka bendera Malaysia ni mereka berderu datang nak ambil. Walaupun mereka jauh dari bandar, tetapi tidak bermakna mereka tidak merasakan semangat patriotik tu ada dalam diri masing-masing. Mereka gembira menantikan kedatangan kita. Alhamdulillah saya rasa satu pengalaman yang sangat menariklah," kata seorang lagi peserta, Wan Nazira Wan Nawi.

Program Kembara Merdeka @ Galas 'Be Ades Ma Kampung' dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kerjasama beberapa agensi, seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MASNIZA AWANG KECHIK