fb fb fb fb fb

Perubahan iklim luar jangka, JBPM mantapkan SOP & latihan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Perubahan iklim luar jangka menyebabkan pola cuaca tidak menentu melanda negara.

Keadaan itu menyebabkan sesetengah kawasan berdepan kemarau serta kebakaran hutan, sementara kawasan lain dilanda banjir kilat.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga mendepani sebarang kemungkinan bencana.

"Dari segi kelengkapan, kita memastikan jentera dan peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik melalui penyelenggaraan yang lebih teratur.

Anggota pula dipersiapkan dengan latihan yang lebih ekstrem kerana jika hanya latihan biasa, dikhuatiri mereka tidak mampu bertahan sekiranya operasi banjir berlanjutan selama berminggu-minggu," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

JBPM turut menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi kerja penyelamatan termasuk pemindahan mangsa dan pemadaman kebakaran hutan dengan kerjasama strategik agensi lain.

Antaranya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran serta MetMalaysia.

Kolaborasi itu penting bagi memastikan misi menyelamat lebih pantas dan berkesan, terutama dalam situasi pascabanjir.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN