KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) merupakan usaha kerajaan memperkukuh ketelusan pentadbiran, demikian dinyatakan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau menegaskan bahawa integriti adalah teras kepada pembangunan selain bebas daripada segala bentuk kepentingan yang boleh menjejaskan negara.
"Apabila RUU ini dibentangkan dan diluluskan, semua urusan perolehan kerajaan akan dilaksanakan secara telus dan berintegriti. Insya-Allah, ia juga akan melibatkan aspek digitalisasi bagi memastikan proses lebih efisien dan berkesan.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan membentangkannya di Parlimen tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Integrity Fun Walk anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan penyertaan lebih 2,000 peserta di ibui negara.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa pengisian kemerdekaan sejati perlu didasari dengan jiwa yang telus, merdeka serta penuh berintegriti.
"Seperti yang selalu saya sebutkan, rakyat sihat negara makmur. Justeru, usaha seperti Fun Walk ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga menekankan pentingnya sifat integriti yang mesti diamalkan sepanjang hayat, bukan pilihan," katanya lagi.
Acara itu menampilkan dua kategori iaitu tiga kilometer dan lima kilometer yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat di samping memupuk nilai integriti dalam kalangan masyarakat.