fb fb fb fb fb

KEMAS buka COME, sedia peralatan percuma kepada usahawan luar bandar

(Datuk Seri Mahdzir Khalid ditemui media selepas  majlis Pelancaran Pusat Daya Maju KEMAS di Kuala Nerang)

KUALA NERANG, 21 Ogos- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju atau COME yang menyediakan pelbagai peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat di luar bandar secara percuma.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan COME selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi memastikan kumpulan sasar golongan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan.

"Pusat Daya Maju KEMAS akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3,000 orang seluruh negara apabila pusat ini mula beroperasi, peralatan jahitan pelbagai jenis mesin jahitan tu diletakkan di satu tempat. Jadi bagi mereka-mereka B40 ni yang nak memulakan atau yang sedang berusaha secara individu diorang boleh mohon untuk datang ke tempat itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju KEMAS di Kuala Nerang, dekat Padang Terap, Kedah, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Kedah, Noor Azman Abd Rahman.

Jelas Mahdzir, setiap negeri mempunyai satu COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan KEMAS sedia ada.

Beliau yakin dengan pembukaan 14 buah bengkel COME itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu KEMAS akan membuka lebih banyak kelas-kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.

Sejak tahun 2019 hingga kini, KEMAS merekodkan sejumlah 166,788 orang telah menghadiri kelas-kelas kemahiran yang dikendalikannya.

Manakala program Bantuan Quickwin yang diperkenalkan KEMAS sejak tahun 2016 pula telah memberi manfaat kepada seramai 18,477 orang dengan 16,618 orang daripadanya adalah golongan wanita.

Ianya merupakan antara inisiatif yang disediakan KEMAS bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar.


(Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra bersama usahawan bidang jahitan selepas
melancarkan Pusat Daya Maju KEMAS di Kuala Nerang)

 

Media Baharu