KUALA LUMPUR, 25 November – Kemajuan sains dan teknologi perlu diletakkan sebagai teras utama dalam strategi pembangunan jangka panjang ASEAN.
Penekanan juga perlu diberikan kepada usaha mengukuhkan pembiayaan penyelidikan strategik sebagai asas kepada pembangunan inovasi dan teknologi serantau, ketika ASEAN memasuki “Dekad Penentu”.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta semua agensi berkaitan meningkatkan pembiayaan penyelidikan strategik bagi memastikan rantau itu bersedia menghadapi perubahan global yang pesat.
“Langkah itu penting bagi memangkin penemuan saintifik serta teknologi bertaraf dunia, selain mempercepatkan penerimaan dan pengkomersialan teknologi masa hadapan.
“Ia juga bertujuan menarik penyelidik global, institusi saintifik ternama dan bakat berimpak tinggi ke Malaysia dan ASEAN.
“Malaysia juga menegaskan komitmennya untuk berperanan sebagai pintu masuk, tapak ujian, platform pelancaran dan hab inovasi bagi inovator global, dengan ekosistem yang sesuai untuk membangunkan rumusan teknologi bagi rantau ASEAN,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Kerjasama dan Pembangunan Teknologi ASEAN 2025, hari ini.
Beliau juga menyaksikan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antarabangsa serta pelancaran buku ASEAN Economy, penerbitan baharu SOMO Group yang mengetengahkan perkembangan ekonomi serantau dan peranan Malaysia yang terus berkembang dalam ASEAN.
Sidang kemuncak tahun ini memberi tumpuan kepada lima bidang transformasi utama iaitu mobiliti masa depan, penjagaan kesihatan digital, pembangunan masa depan dan infrastruktur berdaya tahan, ekonomi digital halal serta keusahawanan masa depan.
Tema-tema ini sejajar dengan hala tuju dasar jangka panjang ASEAN dan menjawab keperluan industri semasa yang timbul daripada transformasi digital, penyusunan semula rantaian bekalan dan peningkatan industri yang pesat.
Sesi mobiliti masa depan meneliti teknologi autonomi, sistem tanpa pemandu serta rumusan pengangkutan generasi baharu yang mampu mengubah cara hubungan dan pergerakan untuk pengeluar, penyedia logistik dan firma kejuruteraan di ASEAN.
Fadillah berkata, sains, teknologi dan inovasi adalah elemen teras dalam strategi jangka panjang ASEAN bagi memastikan daya tahan, kemakmuran dan keselamatan serantau.
Katanya, sidang kemuncak itu juga berperanan penting dalam mengukuhkan kerjasama saintifik merentas sempadan, penyelarasan dasar, rangkaian pelaburan, pemindahan teknologi dan ekosistem inovasi serantau.
Dengan penglibatan MOSTI, UNESCO, Diplomatic Council, SIEF, MRANTI, NCT Group, Intrinsic SEA dan rakan-rakan lain, Malaysia yakin rantau ini sedang bergerak ke arah ASEAN yang lebih bersepadu dan dipacu inovasi.
Dalam pada itu, sidang kemuncak berkenaan akan diteruskan sebagai acara tahunan, sekali gus menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama, memperluas pelaburan dan mempercepatkan kemajuan teknologi di rantau ini.