fb fb fb fb fb

NADMA gesa penyelarasan bantuan banjir diperkemas

FOTO HIASAN / BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 November - Agensi Pengurusan Bencana Negara, NADMA, menasihatkan semua pihak yang berhasrat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk badan korporat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan individu, untuk membuat penyelarasan awal dengan pihak berkuasa. Langkah ini penting bagi memastikan keperluan mangsa dipenuhi secara tersusun dan berkesan.

Dalam satu kenyataan, NADMA mengakui pihaknya menerima rungutan daripada NGO dan individu mengenai kesukaran menghantar barangan bantuan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dan diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

NADMA menegaskan kerajaan amat menghargai keprihatinan semua pihak. Namun, setiap sumbangan perlu melalui proses penyelarasan di peringkat sekretariat sebelum dihantar ke kawasan terjejas.

"Langkah ini penting bagi memastikan sumbangan yang diterima bersesuaian dengan keperluan di lapangan serta mencukupi mengikut jumlah mangsa, sekali gus mengelakkan lambakan, pembaziran sumber, pertindihan barangan dan kerosakan bekalan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, NADMA menyeru semua penyumbang agar menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri atau daerah terlebih dahulu.

Ini bertujuan mendapatkan maklumat mengenai keperluan sebenar mangsa dan lokasi yang tepat sebelum mengatur pergerakan penghantaran bantuan.

Koordinasi itu juga membolehkan PKOB merekodkan jenis dan jumlah barangan yang diterima, sekali gus memudahkan penyaluran bantuan melalui satu saluran rasmi.

Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan respons bencana dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh demi menjaga keselamatan serta kebajikan mangsa banjir.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE