LAHAD DATU, 25 November - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggerakkan inisiatif baharu bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak melalui pelaksanaan kursus pratahfiz al-Quran di tadika dan tabika di semua kawasan Felda seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu dilaksanakan selepas Pengarah Besar Felda mencadangkan agar semua institusi pendidikan awal di Felda bekerjasama dengan Tabika KEMAS bagi memantapkan modul pembelajaran, termasuk pendidikan al-Quran.
Menurut beliau, KKDW segera menyelaras kerjasama tersebut dan memastikan setiap tadika serta tabika di lebih 317 kawasan peneroka Felda melaksanakan program menghafal al-Quran khusus untuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
"Kami telah meluruskan agar semua tadika dan tadika yang ada di Felda bekerjasama dengan Tabika KEMAS untuk mengadakan kursus-kursus pra tahfiz di semua rancangan Felda. Itu bermakna, anak-anak akan diajar menghafal al-Quran daripada umur tiga tahun," katanya ketika berucap pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat di Dataran Expo, Felda Wilayah Sahabat, Lahad Datu.
Jelasnya, usaha tersebut bukan untuk kepentingan mana-mana individu atau pemimpin, sebaliknya demi masa depan generasi kedua dan ketiga Felda di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Felda tidak berada secara langsung bawah KKDW, kementerian tetap memikul tanggungjawab memastikan kebajikan penduduk Felda terpelihara, termasuk kemudahan pembelajaran dan pembangunan modal insan.
Program pratahfiz itu dijangka meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak Felda serta menyelaraskan modul pembelajaran antara Kemas dan institusi pendidikan Felda di seluruh negara.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga menyeru agar kawasan Felda di Sabah, termasuk Lahad Datu, terus bekerjasama dengan Putrajaya bagi memastikan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.