fb fb fb fb fb

Keluarga Malaysia dijemput hadir meriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, esok

PUTRAJAYA, 29 Julai- Persiapan bagi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini esok, berjalan lancar.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek, persiapan sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selaku urus setia program itu dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menjayakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bermula dari Dataran Putrajaya sehingga di hadapan Istana Kehakiman bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendokong aspirasi Keluarga Malaysia.

"Jadi setakat ini, seramai lebih kurang 15,000 akan turut serta dalam Program Berjalan Teguh Bersama yang bermula dari dataran Masjid Putrajaya dan tamat di dataran berhadapan Istana Kehakiman Negara dimana jaraknya lebih kurang 2.7km.

"Persiapan sedang giat dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) sebagai urus setia program ini. Setakat ini saya berpuas hati," kata Mohammad ketika ditemu bual RTM di tapak program.

Sementara itu, beliau berharap cuaca di Putrajaya esok baik memandangkan terdapat banyak aktiviti menarik akan diadakan antaranya program Berjalan Teguh Bersama dan persembahan pancaragam.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tema, ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.


(Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM), Datuk Seri Mohammad Mentek meninjau
persiapan akhir pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022/FB K-KOM)

Media Baharu