fb fb fb fb fb

KPDNHEP Perlis bongkar taktik individu seleweng minyak diesel bersubsidi

KANGAR, 29 Julai- Taktik pembelian diesel berlebihan untuk dijual kepada sindiket berjaya dikesan penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis.

Modus operandi digunakan adalah menerusi pengisian diesel di lebih 10 stesen minyak ke dalam tangki sebuah kenderaan SUV jenis Mitsubishi Pajero yang telah diubah suai.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri, Mohamad Amir Abdullah, individu berusia 36 tahun itu diserbu pihak penguat kuasa selepas selesai menjalankan kegiatan haram tersebut di sebuah stesen minyak di ibu negeri, tengah hari semalam.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, kenderaan tersebut telah diubah suai dengan pemasangan dua unit tangki tambahan yang boleh memuatkan lebih 600 liter diesel selain enam tong minyak (jerry can) kosong.

KPDNHEP mengesahkan bahawa sebanyak 500 liter diesel telah dimuatkan dalam tangki tambahan untuk dijual kepada sindiket.

"Hasil siasatan awal kita, tangkapan hari ini tiada kaitan dengan sindiket sebelum ini. Setakat yang kita tahu, mereka ini ada yang bergerak secara solo dan ada yang berkumpulan. Tapi yang ini, memang kita siasat hanya bergerak seorang sahaja lah," kata Amir memaklumkan kepada media mengenai tindakan kes penyelewengan bahan api diesel berkenaan di Pejabat KPDNHEP Negeri.

KPDNHEP memberi amaran terhadap mana-mana individu dan 36 pengusaha stesen minyak di seluruh Perlis agar mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP.

Jika didapati bersalah, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.


(Tangki minyak yang diubah suai mampu mencapai 600 liter minyak diesel)

Media Baharu