fb fb fb fb fb

Keluarga arwah Zayn Rayyan, disaran buat laporan polis jika berasa terancam - Saifuddin

Foto BERNAMA

BANDAR BAHARU, 15 Jun- Keluarga kepada kanak-kanak istimewa, Zayn Rayyan Abdul Matiin disaran membuat laporan polis sekiranya berasa terancam.

Langkah itu susulan penyebaran paparan laporan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak berkenaan di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan rakyat selain memastikan siasatan kes tersebut berjalan lancar.

"Kes ini dianggap kes yang berprofil tinggi. Insiden ini dah hampir enam bulan dan hakikat bahawa perkembangan terkini yang berlaku yang mungkin sesetengah pihak anggap memeranjatkan tetapi pihak polis secara profesional mengumpul maklumat dengan penuh berhati-hati."

“Seluruh siasatan polis berpandukan kepada peraturan dan disiplin. Polis tidak boleh bertindak di atas persepsi, polis tidak boleh bertindak di atas maklumat-maklumat yang samar, tidak boleh."

“Jadi, apabila polis buat satu siasatan terutama membabitkan kes pembunuhan seperti ini, kertas siasatan polis bermaksud mewujudkan beberapa perkara yang menjadi rukun. Yang pertama, mayat. Yang kedua, motif. Yang ketiga, senjata. Jadi, siasatan polis mengikut garis prosedur operasi standard (SOP) yang begini," kata Saifuddin kepada pemberita.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kompleks Sukan Komuniti Serdang Kedah yang disertai lebih 20 agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Tambahnya, pihak polis perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyiasat kes secara profesional dan objektif bagi melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, beliau meminta orang ramai untuk tidak mengeluarkan sebarang komen di media sosial, kerana tindakan itu disifatkan mengganggu siasatan atau hanya melontarkan persepsi, bukan fakta kes.

Sebelum ini, tular di media sosial paparan yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak istimewa itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM