ARAFAH, 15 Jun- Ibadah haji menuntut manusia kembali kepada fitrahnya iaitu beriman kepada Allah SWT dan mengelak dari mensyirikkan-Nya.
Manasik haji ini secara tidak langsung mendidik manusia memperkukuh akidah, memperbaiki amal ibadah dan membentuk akhlak mulia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan khutbah Arafah berkata menerusi ibadah haji, Allah SWT ingin mendidik manusia dengan beberapa peraturan dan larangan dalam melakukan perbuatan yang membinasakan dan merosakkan.
Ini termasuk kepentingan memelihara lidah dan pertuturan.
"Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah) dan dia tidak berkata dengan perkataan yang keji dan kotor dan tidak melakukan kefasiqan, maka dia akan kembali sebagaimana bayi yang baru dilahirkan ibunya," kata Na'im dalam khutbahnya.
Menurutnya, dengan kembali kepada fitrah yang mencintai kebaikan dan ketaatan, umat Islam perlu memelihara segala bentuk didikan haji yang telah diperolehi disamping mencegah diri daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.
"Saya menyeru kepada diri saya dan para tetamu Allah SWT, untuk kita sama-sama memberi tumpuan seluruh jiwa dan raga untuk kembali kepada fitrah mentaati Allah SWT. Perbanyakkan solat taubat dan berdoa semoga Allah SWT mengampunkan segala kesalahan dan kekhilafan kita sebagai seorang manusia yang lemah," tambah Na'im.
Sebaik selesai khutbah Arafah, jemaah haji kemudian melaksanakan solat jamak takdim Zohor dan Asar secara tamam disusuli talbiah dan zikir.
Terdahulu di sebelah pagi, Datuk Dr. Mohd Na'im berkesempatan meluangkan masa melawat khemah penginapan serta beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia.