fb fb fb fb fb

Kelantan tidak bubar DUN

KOTA BHARU, 10 Oktober- Kelantan kekal dengan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun kerajaan mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya masih berpegang dengan keputusan yang dibuat parti sebelum ini.


(Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah)

“Yang berhormat Datuk Seri Presiden dan timbalan presiden telah keluar kenyataan sebenarnya dua tiga hari lepas bahawa ketiga-tiga negeri yang diperintah pas ini kelantan terengganu dan kedah tidak akan dibubarkan walaupun Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat maksudnya dalam tahun ini lah jadi setakat ini keputusan itu masih lagi kekal walaupun Parlimen bubar hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya adakah pendirian PAS itu akan membebankan rakyat pulang berulang kali bagi tujuan mengundi, menurutnya, sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilaksanakan semasa musim tengkujuh atau banjir, ia lebih menyukarkan rakyat.

“Bagi saya pilihan raya musim banjir, lebih menyusahkan rakyat kita tak akan buat dalam musim banjir kalau kita bubar dewan pun bukan tahun ini kita ada masa panjang paling cepat pun bulan tiga,”katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Selaras dengan itu, beliau mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada pukul 3.00 petang tadi.

Media Baharu