KOTA BHARU, 6 November - Kerajaan Kelantan bersedia mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi membincangkan isu pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata perjumpaan itu akan memberi penjelasan lanjut kepada semua pihak berhubung isu berkenaan.
"Sebelum ini, kita memberikan maklumat terperinci secara berdokumen bagi menjelaskannya dan saya rasa maklumat yang diberikan itu sudah mencukupi.
"Bagaimanapun, saya nampak ada silap faham. Kita bukan membatalkan hutan simpan dan hutan kekal. Itu tidak benar dan kita perlu bezakan antara hutan simpan serta hutan kekal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Malam Mahabbah Media Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan 2023, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud di sini malam tadi.
Mohamed Fadzli berkata pengubahsuaian KSAS masih dalam peringkat kajian, namun ada yang beranggapan seolah-olah ia sudah berlaku.
"Saya baru terbaca (laporan media) NRECC akan buat perjumpaan dan akan ada satu mesyuarat bersama dengan pihak berkepentingan termasuk kerajaan Kelantan," katanya.
Semalam media melaporkan NRECC akan mengadakan mesyuarat di Putrajaya bersama pihak berkepentingan dalam tempoh dua minggu lagi untuk membincangkan dan meneliti secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mesyuarat itu akan melibatkan Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam sekitar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Taman Negara dan penasihat Undang-Undang yang ada di NRECC serta kerajaan Kelantan. - BERNAMA