PUTRAJAYA, 6 November - Hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Mesir membolehkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia tiba ke Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini terbukti apabila Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi mengotakan janji untuk memudahkan urusan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
Jelasnya, sokongan penuh kerajaan Mesir membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia untuk melalui pusat pemeriksaan masuk Rafah-Gaza.
"Umpamanya apabila berjumpa Fattah El-Sisi empat mata, terkesan dengan pertemuan itu dan saya minta diberi keutamaan bantuan, beliau pegang kepada janji dan pesawat kita sampai antara paling cepat diberi layanan dan seberang sempadan hubungan dua hala ini," Anwar berucap pada Perjumpaan Bulanan November bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Pada Sabtu lepas, pesawat kargo 9M-WCA yang membawa penghantaran pertama bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk Palestin menerusi Ops Ihsan, telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Tentera El-Arish di Mesir.
Bantuan berupa 20 tan barangan perubatan, barangan bayi dan makanan itu telah diserahkan kepada wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui lintasan sempadan Rafah.