fb fb fb fb fb

Duda mengaku tidak bersalah miliki parang tanpa maksud sah

FOTO HIASAN

KUALA KANGSAR, 6 November - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas pertuduhan memiliki sebilah parang tanpa maksud yang sah di tepi jalan pada Isnin, minggu lalu.

Tertuduh Mohamad Zairi Mohamad, 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati miliki senjata merbahaya iaitu sebilah parang berhulu plastik berwarna merah tanpa sebarang maksud yang sah di tepi Jalan Kampung Perah, Gerik pada 30 Oktober lalu kira-kira pukul 3.45 petang.

Jika sabit kesalahan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau satu tempoh yang tidak melebih 10 tahun dan sebatan akan dikenakan.

Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Tertuduh merupakan seorang duda ditahan minggu lalu atas kesalahan menumbuk dan menendang anak kandungnya berusia 12 tahun sehingga mengalami kecederaan tisu lembut dalam kejadian di Kampung Perah.

TETITIA YUSOFF