fb fb fb fb fb

Kelulusan awal RM1.7 bilion, selesai masalah air Kelantan

(Foto hiasan)

GUA MUSANG, 15 Jun- Kerajaan Kelantan dijangka menerima peruntukan awal berjumlah RM1.7 bilion daripada kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi di negeri itu sejak berpuluh tahun lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata sebelum ini kerajaan Kelantan telah memohon peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, hasil pertemuan dengan Perdana Menteri, satu jawatankuasa khusus ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Kelantan.


(Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah)

“Alhamdulillah dua hari lepas jawatankuasa ini sudah bermesyuarat. Setakat ini kelulusan awalnya kalau saya boleh maklum, ialah sebanyak RM1.7 bilion yang akan diterima.

“Sebelum ini kita minta sebanyak RM8 bilion tetapi Perdana Menteri kata perlu diperhalus. Insya-Allah kalau ini diluluskan kita akan dapat RM1.7 bilion pada peringkat awal," katanya kepada media selepas Program Penyerahan Hak Milik Tanah Jajahan Gua Musang, di Felda Chiku 2 di sini.

Sebelum ini Anwar berkata permohonan awal Kelantan berjumlah RM8 bilion ditolak kerana kerajaan perlu meneliti secara tepat keperluan sebenar dan ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan.

Menurutnya, usaha mengatasi masalah bekalan air perlu mempunyai langkah awal dan kerajaan sedia memperuntukkan dana bagi projek jangka sederhana dan panjang.

Media Baharu