fb fb fb fb fb

Johor catat pelaburan komited RM10.6 bilion suku pertama

(Foto hiasan)

ISKANDAR PUTERI, 15 Jun- Kerajaan Johor mencatatkan pelaburan komited sebanyak RM10.6 bilion pada suku pertama tahun ini iaitu peningkatan 221% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, pelaburan itu meningkat RM7.3 bilion berbanding RM3.3 bilion pada 2022.

Daripada jumlah itu, pelaburan komited RM1.80 bilion diluluskan bagi 58 projek sektor pembuatan dengan jangkaan menjana sebanyak 3,013 peluang pekerjaan.

Sementara itu, RM8.76 bilion diluluskan untuk 147 projek sektor perkhidmatan yang mampu menjana sejumlah 298 peluang pekerjaan.

"Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM1.35 bilion atau 75%, manakala pelaburan langsung domestik mencatatkan RM450 juta atau 25% bagi sektor pembuatan

"Sub-sektor elektrikal dan elektronik menerima pelaburan tertinggi iaitu RM1.12 bilion, diikuti produk logam fabrikasi RM185 juta serta kimia dan produk kimia RM90 juta.

“Sektor pembuatan (yang) dibahagikan kepada 12 sub-sektor menyaksikan sub-sektor elektrik dan elektronik menerima pelaburan yang tertinggi sebanyak RM1.12 bilion; diikuti produk logam fabrikasi (RM185 juta); kimia dan produk kimia (RM90 juta); kertas, percetakan dan penerbitan (RM76 juta) dan pembuatan makanan (RM73 juta) dan seterusnya,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

Bagi sektor perkhidmatan, projek yang mencapai status Malaysia Digital menerima nilai pelaburan yang tertinggi iaitu RM5.85 bilion, diikuti informasi dan komunikasi (RM1.61 bilion); hartanah (RM911 juta); utiliti (RM284 juta); perdagangan pengedaran (RM56 juta) dan lain-lain lagi.

(Lee Ting Han) 

Media Baharu