GEORGE TOWN, 11 April- Kelab Media Mutiara Pulau Pinang menggerakkan Program Singgah Sahur, sebagai menghargai khidmat pasukan keselamatan yang berkhidmat 24 jam untuk masyarakat.
Pengarah program, Selwam Arjunan berkata pihaknya dengan kerjasama Nashmir Holdings singgah menyampaikan juadah sahur di IPD Timur Laut, Balai Bomba Jalan Perak dan Pejabat Pertahanan Awam Pulau Pinang.
"Tahun ini kita mengambil peluang untuk meraikan semula Program Singgah Sahur dan kita mendekati pasukan bomba, polis dan APM untuk memberikan juadah sahur dan kita menghargai peranan mereka bekerja 24 jam sehari," katanya di sini.
(Kelab Media Mutiara menyampaikan juadah sahur di IPD Timur Laut)
Acara tahunan Kelab Media itu juga menjadi landasan mengeratkan lagi hubungan antara agensi media di negeri itu.
"Kelab Media Mutiara Pulau Pinang begitu aktif, bukan sahaja mengeluarkan berita-berita sensasi mengikut keadaan semasa tetapi juga menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang mana dapat mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan pihak media.
"Pada saya ini amat penting kerana kita dapat menyalurkan maklumat secara terus," menurut Pengarah Bomba Pulau Pinang, Saadon Mokhtar.