LABUAN, 18 Mei - Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) dinobatkan johan bagi kategori pertubuhan belia Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Labuan.
KEBAL menerima hadiah wang tunai RM10,000 piala iringan dan sijil penghargaan sekali gus mewakili Labuan ke peringkat kebangsaan.
Tempat kedua dimenangi Kelab Belia Lubok Temiang (KBLT) manakala tempat ketiga disandang oleh Persatuan Gabungan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GABPOBA).
Kedua-dua pertubuhan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000 piala iringan serta sijil penghargaan.
Majlis perasmian dan penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Pada majlis itu turut disampaikan Anugerah Belia Negara kategori individu lelaki dan wanita.
Dalam pada itu, sebanyak 16 aktiviti dan acara berlangsung sempena HBN di Labuan.
LABUANfm turut membuka reruai ujibakat juruhebah radio dan konti berita radio di lokasi sebagai memeriahkan lagi sambutan HBN hari ini yang dikendalikan Bahagian Rancangan dan Siaran RTM Labuan.