fb fb fb fb fb

Kekurangan mikro cip punca kelewatan serahan MyKid

SEMABOK, 14 Januari- Kekurangan mikro cip di peringkat global menjadi punca kelewatan pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) diserahkan kepada pemohon.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh berkata, masalah itu berlaku sejak pandemik COVID-19 lalu dan JPN menangguhkan sementara pengeluaran MyKid.

Beliau berkata, proses permohonan baru bagi dokumen tersebut masih diteruskan namun tempoh masa menunggu akan lebih lama berikutan pihaknya akan menyelesaikan permohonan tertunggak terlebih dahulu.

Ruslin memberi jaminan, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh enam bulan.

"Dan kita juga bercadang dalam tempoh ini kita akan buat penangguhan sementara pengeluaran MyKid. Bagaimanapun proses ini akan berterusan dan proses pengeluaran MyKid tertangguh berikutan kekurangan bekalan cip.

"Apa yang saya harapkan setiap kanak-kanak yang mempunyai sijil lahir kerana itulah dokumen pengenalan," katanya selepas menyerahkan kad pengenalan pada program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Nur Aleeya Ammar di Bukit Godek, Semabok Dalam di sini.

Dalam pada itu, Datuk Ruslin menyeru kepada semua agensi kerajaan dan swasta untuk menerima sijil lahir bagi sebarang urusan.

Katanya, MyKid bukan satu-satunya dokumen diiktiraf kerana sijil kelahiran juga adalah dokumen sah yang dikeluarkan kerajaan.

(Ruslin Jusoh)

Media Baharu