fb fb fb fb fb

Pesara tentera diminta segera daftar persatuan bagi mudah bantuan disalur

RANTAU PANJANG, 14 Januari- Pesara tentera di seluruh negara yang belum berdaftar bersama persatuan diiktiraf Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta berbuat demikian bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata ia bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada pesara terlibat.

Pelbagai inisiatif dan skim bantuan disediakan yang mampu dimanfaatkan pesara tentera termasuk Skim Bantuan Bencana Alam, Inisiatif Perumahan Veteran ATM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan Pengajian Tinggi dan Bantuan Sara Hidup.

"Tolong war-warkan, tolong beritahu kepada mereka yang tidak tahu...yang belum menjadi ahli mana-mana persatuan supaya apabila mereka memahami kerajaan sentiasa prihatin, kerajaan sentiasa memberi bantuan.

"Dan ada skim-skim bantuan yang disediakan khusus untuk veteran ATM yang disalurkan melalui JHEV dengan kerjasama persatuan veteran setempat, negeri dan kebangsaan maka bantuan itu dapat kita salurkan dengan baik dan terurus, kita nak kami yang uruskan," katanya.

(Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus)

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan banjir kepada pesara tentera di Masjid Baiturrahman, Kampung Gual Nering, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mejar Jeneral Zambery berkata pihaknya sentiasa peka terhadap kebajikan pesara tentera dan akan berusaha melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa supaya nasib golongan itu terus terbela.

Sementara itu, hampir RM500,000 diperuntukkan JHEV ATM bagi membantu 2,500 pesara tentera yang terkesan akibat banjir lalu di seluruh negara.

Penyampaian sumbangan bukan sahaja memfokuskan Terengganu dan Kelantan, malah turut membabitkan negeri lain seperti Sabah serta Sarawak dengan senarai penerima dikenal pasti oleh persatuan veteran ATM di setiap negeri.

Media Baharu