PONTIAN, 7 Ogos - Sebanyak 160,000 pokok bakau akan ditanam secara berperingkat di Taman Negara Tanjung Piai, di sini untuk tempoh lima tahun sehingga 2027.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor, Monaliza Suhaimi berkata inisiatif yang dilaksana Lembaga Pelabuhan Johor bersama agensi kerajaan dan swasta itu merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mengekang hakisan yang sering berlaku di kawasan tersebut.
"Ini merupakan satu inisiatif ke arah nyahkarbon memandangkan Malaysia telah pun meratifikasikan konvensyen antarabangsa. Jadi kita perlu menyediakan inisiatif-inisiatif ke arah itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Perasmian Program 'Mangrove Care' 2023 di Taman Negara Tanjung Piai, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan turut menggalakkan penglibatan pelbagai agensi untuk bersama-sama melaksanakan penanaman bakau bagi memelihara dan memulihara tanaman itu.
"Kalau kita tidak memelihara bakau ini sudah tentu ia akan pupus dan kita tidak ada warisan yang bakal kita tinggalkan untuk generasi baharu," katanya.
Sejak Februari lalu, hampir 10,000 anak pokok bakau dan 8,500 benihnya telah ditanam dikawasan tersebut.