fb fb fb fb fb

Tiada isu 'ambil kredit' pelaburan Infineon -Tengku Zafrul

(Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperjelaskan pelaburan Infineon Technologies AG di Kulim, Kedah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini merupakan pelaburan tambahan, tidak seperti dakwaan mengatakan ia pelaburan yang diumum tahun lepas.

Jelas Tengku Zafrul, pelaburan tambahan bernilai RM25 bilion atau €5 bilion itu adalah bukti kestabilan dan dasar kerajaan dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk pelabur.

"Pelaburan ini bukan pelaburan yang diumum tahun lepas, ini pelaburan tambahan.

"Mengapa Infineon dan syarikat lain makin yakin nak melabur di Malaysia tahun ini? Antara sebabnya ialah kestabilan politik.

"Bila kerajaan asyik bertukar, pelabur kurang yakin nak masuk. Kenapa? Sebab bila kerajaan baru masuk, mungkin akan tukar dasar, jadi ini mungkin boleh beri impak negatif kepada pelaburan.

"Tetapi kerajaan sekarang ini kukuh, majoriti pun dua per tiga (sokongan ahli Dewan Rakyat). Insya-Allah, akan bertahan sehingga hujung tempoh," katanya dalam rakaman video yang dikongsi dalam media sosialnya.

Menurut beliau, keyakinan itu turut terbukti menerusi pencapaian suku pertama ekonomi tahun ini apabila jumlah pelaburan yang diluluskan adalah RM71.4 bilion.

Peningkatan itu adalah pada tahap 60% berbanding suku pertama tahun lepas.

"Tahun lepas Infineon nak melabur RM8 bilion, MITI dah beri insentif, tahun ini Infineon nak melabur RM25 bilion, pelaburan ini akan mewujudkan banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

"Produk syarikat ini akan dieksport ke luar negara. Jadi hasil pendapatan negara akan meningkat tinggi," tambah beliau.

Khamis lalu, Infineon mengumumkan perancangan meningkatkan kemudahannya di Kulim untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sebanyak €5 bilion (RM25 bilion) bagi tempoh lima tahun akan datang.

(Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz)

 

Berita berkaitan:
Infineon tambah pelaburan kerana yakin dengan Kerajaan Perpaduan - PM
Pelaburan Infineon, tingkat pertumbuhan eksport negara
Pelaburan tambahan Infineon RM25 bilion bukti kepercayaan gagasan Ekonomi MADANI - PM Anwar
Keyakinan Infineon bukti Malaysia penting dalam bekalan semikonduktor global

Media Baharu