ARAU, 31 Januari- Masyarakat Cina diingatkan supaya terus mengekalkan keharmonian antara pelbagai kaum dan sentiasa saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Sikap berkenaan membolehkan kerajaan merangka pembangunan di Perlis melibatkan kerjasama semua bangsa dan agama untuk sama-sama melonjakkan ekonomi negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pelbagai projek pembangunan telah dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini yang akan melibatkan pelbagai pihak termasuk masyarakat di Perlis sendiri.
Ini bermakna faedah yang bakal diperolehi dari kemajuan ekonomi negeri dapat dimanfaatkan secara bersama dan perpaduan antara kaum juga akan menarik pelabur untuk membangunkan projek di Perlis.
"Melalui keharmonian, perpaduan inilah yang akan memastikan kestabilan politik negara dan kestabilan politik ini sangat penting kerana ia menjadi suatu faktor untuk menarik pelabur-pelabur datang melabur, tidak kisahlah sama ada pelabur dalam negara mahupun pelabur dari luar negara."
"Ini terbukti di Perlis, apabila keadaan politik kita nampak stabil, maka para pelabur ramai sekali yang datang untuk melabur di negeri ini," kata Azlan Man.
Beliau menyatakannya pada Majlis Sumbangan Tahun Baharu Cina di Kampung Pauh Setia, Pauh yang turut dihadiri Exco Negeri yang juga ADUN Pauh, Rozieana Ahmad.
Seramai 62 komuniti Cina sekitar Pauh menerima bakul makanan, limau mandarin dan angpow dari kerajaan negeri bagi menyambut Tahun Baru Cina esok.