fb fb fb fb fb

Kekal terajui KPM, Fadhlina hargai kepercayaan Perdana Menteri

Foto RTM

BANGI, 17 Disember - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, kepercayaan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan terus memberi impak menyeluruh kepada ekosistem pendidikan negara.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan untuk meneruskan kepimpinan KPM bersama YB Timbalan Menteri. Insya-Allah, kami akan berusaha melakukan yang lebih baik dan pastinya yang terbaik untuk pendidikan serta anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Malam Jalinan KPM-Media di Bangi, Selangor.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Md Shahri Saripan serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Semalam, Perdana Menteri mengekalkan beberapa menteri sedia ada dalam Kabinet Kerajaan MADANI, termasuk Fadhlina serta timbalannya, Wong Kah Woh.

Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan peranan media amat penting dalam menghubungkan dasar yang digubal di peringkat kementerian dengan realiti pelaksanaannya di sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau.

Tambahnya, kritikan media yang berfakta dan membina bukanlah satu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam sebuah demokrasi dan perlu diterima secara terbuka demi penambahbaikan berterusan.

Selain itu, beliau turut menekankan reformasi pendidikan yang dilaksanakan KPM adalah berpaksikan prinsip keadilan, merangkumi akses pendidikan di bandar dan pedalaman, kebajikan murid dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan serta sokongan berterusan kepada guru yang memikul amanah besar dalam membentuk masa depan generasi muda.

Malah, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, KPM tegasnya bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha memulihkan sistem pendidikan, tetapi psda masa sama membina semula kepercayaan murid, ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan negara.

EZA YUSMAWATI YAACOP