fb fb fb fb fb

Kepelbagaian dan nilai khidmat, cerminan kekukuhan Malaysia - Sultan Nazrin

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Kepelbagaian budaya, latar kehidupan, serta komitmen terhadap khidmat masyarakat merupakan kekuatan utama yang membentuk keunikan dan masa depan Malaysia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa kekuatan negara terletak pada keupayaan rakyatnya untuk bersatu dalam kepelbagaian, sebagaimana sejarah Malaysia yang terbina daripada proses pencampuran yang subur dan berterusan.

"Seperti dalam sejarah negara kita yang indah, apa yang kita temui ialah satu pencampuran, satu gabungan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis pelancaran 'Two Lives Remembered: A Family Memoir' karya Dato’ Dr. Mahmood Merican dan Datin Ragayah Eusoff di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di sini pada Selasa.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Zarinah Anwar, Naib Canselor UM Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman serta ahli keluarga dan rakan penulis.

Mengulas berkenaan buku tersebut, Sultan Nazrin yang juga Canselor UM menyifatkan kisah kehidupan yang dirakam dalam memoir itu memberi gambaran jelas mengenai pengalaman dan sejarah Malaysia.

Sekali gus menekankan kepentingan percampuran budaya yang menyuburkan individu untuk menjalani kehidupan bermakna serta memberikan sumbangan signifikan kepada masyarakat, melalui perkhidmatan cemerlang dalam bidang perubatan dan selainnya.

"Buku ini ibarat bukti kepada kesuburan hasil daripada percampuran sedemikian pada masa kini dan pada masa depan. Pelbagai pencapaian itu memperlihatkan kemantapan dan kekayaan falsafah mereka tentang Malaysia pada masa lalu melalui catatan hidup yang panjang dan pelbagai daripada pengarang," titah baginda.

Baginda turut menekankan Malaysia yang digambarkan dalam memoir itu ialah sebuah negara yang berpegang teguh pada identiti berbilang budaya serta berbangga dengan akar sejarah dan pencampuran yang membentuk kekuatannya.

"Sebuah negara yang berbangga dengan akar tunggal dan cabangnya yang kompleks; berbangga dengan segala pencampuran yang telah berlaku setakat ini, serta hasil kekayaan yang telah dan akan terus terhasil," titah baginda.

Sultan Nazrin menambah bahawa kisah kehidupan yang dirakam itu membuka jendela kepada sejarah sosial negara, dengan pengalaman hidup merentas pelbagai wilayah dan generasi, sekali gus menghidupkan kembali memori masyarakat Malaysia pada masa lalu.

"Kadangkala, kisah hidup seseorang boleh menjadi cermin kepada sejarah dan identiti masyarakat secara keseluruhan," titah Sultan Nazrin.

Baginda juga bertitah, kisah sebuah keluarga yang berkembang merentas generasi, namun kekal berakar di tanah air, memperlihatkan bagaimana kepelbagaian yang diraikan mampu melahirkan masyarakat yang seimbang, inklusif dan saling memberi manfaat atau nilai tambah antara satu sama lain.

EZA YUSMAWATI YAACOP