KUALA LUMPUR, 16 Disember - Agenda pembangunan tenaga kerja negara akan terus diperkasakan secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, susulan pelantikan kepimpinan baharu di Kementerian Sumber Manusia.
Menteri Sumber Manusia yang baharu dilantik, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas amanah tersebut.
Menurut beliau, pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab besar dalam memastikan kebajikan tenaga kerja serta pembangunan modal insan negara terus diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau yang mewakili komuniti India di Malaysia turut menzahirkan penghargaan atas penghormatan dan mandat yang diberikan sambil menegaskan komitmen untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan integriti.
Datuk Seri Ramanan memaklumkan akan mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Sumber Manusia dalam masa terdekat selepas proses mengangkat sumpah bagi memperhalusi hala tuju serta keutamaan kementerian.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta seluruh warganya atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang hampir dua tahun perkhidmatan beliau sebelum ini.
Kerjasama erat semua agensi di bawah KUSKOP telah membantu memperkasakan agenda pembangunan ekonomi komuniti India di negara ini.