PUTRAJAYA, 3 April- Lawatan rasmi ke negara Cina baru-baru ini disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa yang telah dicapai oleh Perdana Menteri.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia disebabkan oleh usaha berterusan pasukan terdiri daripada menteri dan pegawai kerajaan.
“Kita tengok umpamanya, bagaimana penjawat awam menyusun acara dan mendapatkan hampir 50 syarikat gergasi terbesar yang bernilai berpuluh bilion dolar.
“Ini kerana usaha yang dibuat bukan sahaja oleh Kementerian Luar, tapi semua kementerian terkait berbincang dan menemui mereka sebelum ada pertemuan itu," katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan sekiranya kepesatan itu dikekalkan dari segi tadbir urus, tata kelola dan imej yang baik, dipercayai masa depan negara akan lebih cerah.
Tambah beliau, beberapa syarikat dari China buat kali pertama bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai hab serantau.
Perkara tersebut telah memberi satu lonjakan baharu terhadap imej negara.
Bagaimanapun, perincian berhubung perkara tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
(Foto fail)
"Saya merasakan seolah-olah ada lonjakan baharu mengenai imej dan harapan Malaysia kerana ada beberapa syarikat terkemuka, mungkin dalam beberapa hari akan saya umum.
"Mereka telah memutuskan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub serantau selain China dan ini merupakan kali pertama beberapa syarikat memilih Malaysia sebagai hub serantau," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Terdahulu, lawatan rasmi Perdana Menteri ke China menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi iaitu bernilai RM170 bilion.