fb fb fb fb fb

Malaysia kecam tindakan bakar al-Quran di Denmark

PUTRAJAYA, 3 April- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji dan berulang membakar al-Quran di Denmark pada 24 Mac dan 31 Mac.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra hari ini, perbuatan keji itu bukan kali pertama dilakukan di Denmark pada tahun ini.

Kerajaan Denmark dilihat masih enggan menghentikan perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima, walaupun mendapat bantahan dan kecaman yang disuarakan oleh umat Islam di seluruh dunia.

“Perbuatan Islamofobia yang dilakukan pada Ramadan ketika umat Islam dituntut untuk bersabar itu disifatkan bertujuan menyebarkan kebencian dan hasutan untuk keganasan.

“Malaysia menyeru kerajaan Denmark mengambil tindakan tegas ke atas pelaku tersebut dan tidak mengistilahkan perbuatan keji berkenaan sebagai kebebasan bersuara.

(Wisma Putra)

“Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengerah usaha dalam memastikan kitab suci agama dihormati sepenuhnya dan dilindungi di samping mengambil tindakan penting dalam memerangi Islamofobia serta menggalakkan hubungan harmoni dan semangat hidup bersama secara aman di kalangan individu berbilang agama selaras dengan asas-asas Hak Asasi Manusia,” kata kenyataan itu hari ini.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini terdapat tokoh atau kumpulan Islamofobia di utara Eropah dan negara-negara Nordik, terutamanya di Denmark dan Sweden yang bertindak membakar al-Quran atau merancang untuk melakukannya.

Media Baharu