fb fb fb fb fb

Keindahan Tanjung Jaga jadi tumpuan orang ramai

Pandangan matahari terbenam dari puncak Bukit Perangin Tanjung Jaga./ Foto BERNAMA

YAN, 15 Julai - Tanjung Jaga, Yan, Kedah, mula mencuri tumpuan apabila orang ramai menyamakan keindahannya dengan panorama di kawasan pelancongan popular di Thailand iaitu Koh Samui.

Laluan yang dikelilingi hutan hijau serta pemandangan indah laut yang terbentang luas telah menarik perhatian orang ramai selepas tular di media sosial.

Selain itu, kawasan berkenaan turut mempunyai beberapa tempat penginapan, tapak perkhemahan di tepi pantai dan menjadi tumpuan orang ramai menikmati durian di dusun yang terletak di atas bukit.

Pengunjung dilihat meletakkan kenderaan terutama kereta dan motorsikal di bahu jalan sambil bersantai dan merakamkan gambar kenang-kenangan.

Keadaan itu menyebabkan aliran trafik Tanjung Jaga yang sebelum ini tenang dan mendamaikan bertukar sebaliknya.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menghentikan kenderaan masing-masing di tepi jalan bagi mengelakkan kesesakan.

Polis daerah Yan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat terdapat aktiviti yang tidak begitu sesuai dilakukan oleh pengguna jalan raya iaitu berhenti dan bersantai di sepanjang jalan Tanjung Jaga.

“Perbuatan sedemikian boleh mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan..Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan saman terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas," menurut kenyataan itu, hari ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI