fb fb fb fb fb

MyGEMS perkukuh pengurusan data geosains negara

Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Norsham Abdul Latip/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Julai - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) hari ini melancarkan sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS) atau MyGEMS.

Platform bank data nasional secara spatial itu antara lain bagi memperkukuh pengurusan maklumat bencana geologi secara sistematik dan bersepadu selaras agenda pendigitalan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Norsham Abdul Latip berkata ia juga menjadi instrumen penting dalam merancang sumber negara menerusi pengurusan maklumat geosains yang holistik.

"Tujuan MINGEOGIS adalah untuk membangunkan sistem komprehensif dan bersepadu merangkumi semua aktiviti utama JMG bagi penghasilan produk geospatial yang mudah dicapai dan dikongsikan.

"Pengguna (dan) orang awam juga boleh membuat aduan atau laporan insiden bencana geologi secara terus dalam talian sebagai maklumat crowdsourcing yang berguna untuk sistem ini," kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Jerayawara Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains (MINGEOGIS)@MyGEMS - Hari GIS JMG 2025, di sini hari ini.

MyGEMS atau MINGEOGIS merangkumi lapan peta interaktif mencakupi sembilan kluster data utama termasuk geologi asas, bencana geologi, dan sumber mineral.

Ia boleh diakses menerusi laman sesawang JMG. 

Turut berlangsung, program jerayawara MyGEMS sempena hari Sistem Maklumat Geografi Jabatan Mineral dan Geosains 2025.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN