fb fb fb fb fb

Kehadiran ular tedung selar di dapur kejut Muhammad Redzuwan

APM daerah Baling menangkap ular tedung selar sepanjang lima meter

BALING, 7 Januari- Seorang lelaki terkejut apabila terserempak dengan seekor ular tedung selar sepanjang lima meter di dapur rumahnya.
 
Kejadian berlaku di Kampung Keledang, Baling, kira-kira pukul 4.00 petang ketika Muhammad Redzuwan ingin memasak.
 
Bagaimanapun kehadiran seekor ular tedung selar yang berada di bahagian belakang almari dapur itu mengejutkannya. Dia terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling bagi mendapatkan bantuan.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.40 petang dan lima anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.
 
"Reptilia berbisa seberat 20 kilogram ini berjaya ditangkap di dalam sebuah bilik beberapa minit kemudian dengan menggunakan alat khas dan dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan seterusnya.
 
"Sepanjang tahun lalu, pihaknya 676 kes berkaitan tangkapan ular pelbagai spesies," katanya.
 
Bagi tempoh enam hari pertama tahun ini, pihaknya menerima 12 panggilan berkaitan ular dan enam daripadanya melibatkan tangkapan ular tedung selar.
 
Kehadiran ular tedung selar bersaiz besar ini dipercayai berpunca daripada peralihan cuaca yang berlaku ketika ini menyebabkan reptilia berbisa ini menceroboh masuk ke rumah penduduk di sekitar daerah Baling.
 
Bagaimanapun penduduk daerah Baling yang mempunyai sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Daerah BALING di talian 019-5307091 yang beroperasi 24 jam atau 999 untuk mendapatkan bantuan.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI