LENGGONG, 13 Julai - Kehadiran pelancong ke Lenggong meningkat mendadak pada 2024 iaitu 114,182 orang berbanding hanya 24,770 orang pada 2022.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendapatan pemandu pelancong turut meningkat sebanyak 237 peratus, manakala pendapatan pengusaha penginapan melonjak 145 peratus.
Jelas beliau, Lenggong dijangka terus berkembang melalui pelbagai kajian saintifik yang dijalankan.
Beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk dibangunkan meliputi 39 geotapak, 11 tapak geoarkeologi, lapan biotapak serta 21 tapak budaya dan warisan.
"Lima daripadanya diiktiraf memiliki nilai geologi bertaraf antarabangsa, ia merangkumi elemen-elemen warisan geologi, biodiversiti, budaya dan arkeologi yang sangat unik dan saling berkait.
Kepelbagaian sumber ini menjadikan Lenggong bukan sahaja tapak penyelidikan penting, tetapi juga destinasi pelancongan yang berdaya saing di peringkat global," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong UNESCO Global Geopark di sini, malam tadi.
Tambah Datuk Seri Saarani, usaha memperkukuh kedudukan Lenggong di pentas antarabangsa terus dilaksana menerusi kerjasama dengan pelbagai jaringan geopark luar negara.
Selain, menyertai persidangan antarabangsa dan membuka ruang pertukaran pengetahuan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Turkiye.