MAKKAH, 15 Jun- Kehadiran Pembantu Petugas Haji (PATUH) sepanjang musim haji banyak membantu jemaah dari Malaysia khususnya melibatkan urusan ibadah dan kegiatan harian.
PATUH merupakan rakyat Malaysia yang dilahirkan di Arab Saudi dan berupaya berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
Lebih unik, ada yang fasih dalam dialek negeri tertentu termasuk dialek utara.
Salah seorang ahlinya, Hamadah Abdul Ghani berkata keupayaanya fasih dalam penggunaan loghat Kedah memudahkan beliau untuk rapat dengan jemaah haji.
Kebanyakan ahli PATUH yang berpengalaman mampu berbahasa Melayu dengan baik, manakala kumpulan muda masih lagi dalam proses melancarkan penggunaan bahasa tersebut kerana kriteria utama menjadi PATUH adalah kemampuan berbahasa Melayu secara asas.
"Kita sedia berkhidmat untuk jemaah. Kita (PATUH) jika boleh berbahasa Melayu sangat mudah untuk menolong jemaah. Jika kawan-kawan boleh berbahasa Melayu sangat mudah untuk mendapat pekerjaan," katanya kepada pemberita di sini.
Hamadah telah berkhidmat bersama Tabung Haji (TH) selama 25 tahun dan dilahirkan di Makkah selepas ibu bapanya yang berasal dari Kedah berhijrah ke Tanah Suci.
Selain Hamadah, seorang lagi anak tempatan Makkah, Anuar Ismail juga gembira dapat membantu jemaah Malaysia semasa musim haji.
"Saya berkhidmat di Unit Khidmat Pelanggan. Kemampuan fasih berbahasa Melayu memudahkan komunikasi antara jemaah dan petugas," katanya.
Lebih 400 petugas PATUH dilantik bagi membantu petugas TH tahun ini.
(Lebih 400 petugas PATUH dilantik bagi membantu petugas TH tahun ini)