(Che Ani Ramli, 56, mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan menerima rasuah)
BUTTERWORTH, 15 Jun- Seorang anggota Polis Marin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 21 pertuduhan menerima rasuah antara tahun 2016 hingga 2019.
Tertuduh, Che Ani Ramli, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Gerakan Polis Marin Batu Uban didakwa menerima suapan daripada Tan Hun Heng yang mana tertuduh mempunyai hubungan dengan kerja rasmi penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.
Dia didakwa menerima suapan menerusi akaun bank membabitkan 21 transaksi bernilai antara RM100 hingga RM200 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM2,530.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika berpangkat Koperal dan Sarjan antara Mei 2016 hingga Jun 2019.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 berserta seorang penjamin dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan setiap bulan serta menyerahkan dokumen perjalanan.
Hakim kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
(Che Ani Ramli, 56, diiringi anggota SPRM diperkarangan
Mahkamah Sesyen Butterworth)