NIBONG TEBAL, 6 Ogos - Seramai 307 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas pelbagai kesalahan, termasuk melanggar syarat permit kerja, dalam operasi di sebuah kilang di sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata kesemua mereka adalah antara 749 individu yang diperiksa dalam operasi tersebut.
Beliau menjelaskan, kesalahan yang dikesan termasuk bekerja di sektor berbeza daripada syarat permit serta tidak memiliki pas perjalanan sah, mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1965.
Daripada jumlah yang ditahan, 306 merupakan warga Bangladesh manakala seorang lagi warga Nepal, berusia antara 20 hingga 40 tahun. Kesemua mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi.
Menurut Zakaria, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk memiliki permit untuk sektor tertentu seperti pembersihan tetapi bekerja di sektor berbeza seperti kilang.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi yang turut mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).