KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Polis Terengganu berjaya membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu yang melibatkan seorang doktor klinik swasta berusia 51 tahun di Daerah Marang.
Tangkapan dilakukan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial pada 8 Januari lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, penipuan mengeluarkan sijil vaksinasi palsu berkenaan melibatkan golongan yang enggan mendapatkan suntikan tersebut.
Golongan berkenaan didapati sanggup membayar sejumlah upah antara RM400 ke RM600 bagi mendapatkan sijil palsu tersebut.
Sehingga tangkapan dibuat, polis percaya terdapat lebih 1,900 individu terlibat memohon mendapatkan sijil vaksinasi palsu itu.
"Di sini, isunya bukan sahaja yang terbabit dengan penipuan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tetapi ia melibatkan satu bencana atau musibah kesihatan kepada masyarakat umum.
Saya rasa adalah tidak adil kepada masyarakat lain yang dikelilingi oleh golongan ini. Jadi saya ingin memberi amaran, PDRM bersama-sama KKM akan meneruskan operasi ini untuk mengesan lain-lain tempat yang menjalankan aktiviti yang sama di negeri Terengganu ini", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu.
Turut dirampas dokumen pengakuan pengambilan vaksin, kad temujanji pengambilan dos vaksin, komputer riba dan telefon bimbit milik suspek.