SUNGAI PETANI, 6 Julai - Tiga lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu sejak dua tahun lalu.
Kegiatan berkenaan terbongkar selepas satu siasatan dalaman dijalankan terhadap seorang anggota polis yang kerap mengambil cuti.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, siasatan yang dijalankan mendapati sijil cuti sakit dikemukakan anggota polis terbabit adalah palsu.
ACP Hanyan Ramlan (dua kiri) menunjukkan sijil sakit palsu yang dirampas - Foto IPD Kuala Muda
Menurutnya, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bertindak menyerbu sebuah premis di Taman Songket Indah, di sini pada 26 Jun lalu.
"Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia lewat 40an berjaya ditangkap dan pelbagai peralatan termasuk tablet, cop, kertas A4, komputer riba serta mesin pencetak dirampas kerana syaki digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu," katanya dalam sidang media di IPD Kuala Muda, di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek utama adalah pesakit jantung yang masih menerima rawatan di hospital dan suspek akan mengingati nama doktor yang merawatnya untuk digunakan pada cop nama sijil sakit palsu.
Sijil cuti sakit palsu dijual dengan harga RM25-RM30 bagi satu hari cuti sakit - Foto IPD Kuala Muda
Suspek utama menjalankan aktiviti ini bersama dua lagi suspek berusia lingkungan 30-an yang turut ditahan.
Dua lagi suspek berkenaan dipercayai bertindak sebagai ejen mencari pembeli.
Menurutnya, sijil sakit palsu itu dijual kepada individu tertentu termasuk penjawat awam dengan harga antara RM25 hingga RM30 bagi satu hari cuti tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu kerana menipu dan memalsukan dokumen.