fb fb fb fb fb

AMM Ke-58: Malaysia tarik penyertaan kukuh, bukti wibawa Pengerusi ASEAN 2025

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Malaysia terus membuktikan kewibawaannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 apabila berjaya menarik penyertaan lebih 30 Menteri Luar Negeri, negara anggota dan rakan dialog ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) serta mesyuarat berkaitan yang dijadual bermula 8 Julai ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, berkata penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap peranan strategik ASEAN dalam landskap geopolitik global di bawah kepimpinan Malaysia.

“Ini bukan lagi sekadar rutin, sebaliknya minat untuk menyertai mesyuarat ASEAN dan mekanismenya tahun ini jelas tinggi. Walaupun jadual mesyuarat di peringkat serantau dan antarabangsa sangat padat, namun setakat ini, penyertaannya amat membanggakan,” katanya pada sidang media sempena penganjuran mesyuarat itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Sekurang-kurangnya 1,500 delegasi termasuk lebih 30 Menteri Luar ASEAN dan negara rakan dialog dijangka menghadiri siri mesyuarat berperingkat tinggi tersebut yang berlangsung hingga 11 Julai.

Antara agenda utama yang menjadi perhatian ialah Mesyuarat Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara
(SEANWFZ), Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Mesyuarat Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE