SEMPORNA, 6 Julai - Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) dijangka mampu memberi impak positif kepada pertumbuhan sektor pelancongan Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan program berkenaan berupaya meningkatkan keyakinan terhadap tahap keselamatan di kawasan terlibat sekali gus merangsang kemasukan pelancong dan pelabur asing ke negeri ini.
"Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Sabah melalui limpahan ekonomi, malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara yang komited dalam aspek keselamatan dan kestabilan serantau," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Menteri Dalam Negeri bersama Warga ESSCOM sempena Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing di ESS Zone di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jonistan Bangkuai berkata, tinjauan keselamatan yang dijalankan di beberapa pulau sekitar ESSZone turut menyerlahkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam mempertingkat tahap keselamatan kawasan terbabit, selain menonjolkan keindahan serta potensi besar pulau-pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan selamat.
"Hasil tinjauan itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan pelancong dan komuniti setempat terus menjadi keutamaan," katanya.
Program tersebut membuka ruang kepada para deligasi untuk melihat sendiri usaha berterusan kerajaan Sabah dalam memperkukuh keselamatan khususnya di kawasan pantai timur negeri itu.
Langkah proaktif ini memberi keyakinan terhadap komitmen kerajaan negeri dalam melindungi komuniti tempatan, pelancong dan pelabur berpotensi di kawasan terbabit.
Berdasarkan statistik dari Januari hingga Mei 2025, Sabah merekodkan sebanyak 559,150 ketibaan pelancong antarabangsa dan 879,400 pelancong domestik, dengan China mencatat jumlah ketibaan tertinggi iaitu seramai 243,688 orang.
Terdahulu, para perwakilan dibawa meninjau beberapa pulau utama di Semporna seperti Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking yang menampilkan keindahan semula jadi, aktiviti komuniti setempat serta keunikan budaya tempatan yang berpotensi menjadi tarikan pelancong antarabangsa.