KUALA LUMPUR, 6 Julai - ASEAN kini menilai secara teknikal berhubung penyertaan negara kuasa besar dalam Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Penilaian itu turut merangkumi kemungkinan penetapan reservasi terhadap komitmen perjanjian tersebut.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata langkah tersebut mencerminkan usaha berterusan ASEAN untuk memperkukuh komitmen global terhadap prinsip ketidakcambahan senjata dan menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas senjata nuklear sepenuhnya.
“Perkara ini sedang diperhalusi oleh Suruhanjaya SEANWFZ melalui perbincangan yang telah dijalankan di peringkat Pegawai-Pegawai Kanan dan Jawatankuasa Eksekutif.
“Isu utama ialah penyertaan negara kuasa besar bergantung kepada sama ada mereka boleh membuat reservasi terhadap protokol tersebut,” kata beliau semasa sesi taklimat media Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di sini pada Ahad.
Amran berkata ASEAN terus memainkan peranan sebagai platform diplomatik utama untuk menggalakkan penyertaan kuasa besar dalam rejim senjata nuklear yang lebih selamat dan terkawal.
Selain mengekalkan komitmen terhadap prinsip ketidakcambahan senjata nuklear dan rundingan teknikal yang sedang berlangsung diharapkan dapat membawa kepada penyertaan negara-negara berkaitan tanpa menjejaskan asas perjanjian sedia ada.
Jelas beliau, terdapat juga petunjuk positif bahawa kemajuan dalam rundingan masih boleh dicapai meskipun prosesnya mengambil masa yang panjang.
Sebelum ini, beberapa keputusan penting telah dicapai, termasuk perbincangan sama ada penyertaan ke dalam protokol tersebut boleh dilakukan dengan atau tanpa reservasi.
Setakat ini, China dan Rusia telah bersetuju untuk menandatangani Protokol SEANWFZ, manakala Amerika Syarikat masih menjalankan proses semakan sebelum memuktamadkan keputusan penyertaan.