fb fb fb fb fb

TDM sahkan anggota Grup Gerak Khas maut ketika latihan selam di Kuantan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan kematian seorang anggota Grup Gerak Khas (GGK) dari Rejimen 22 Komando ketika Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang baru-baru ini.

TDM menerusi satu kenyataan memaklumkan, Allahyarham Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30 tahun, dilaporkan hilang pada 3 Julai lalu sekitar pukul 12.15 tengah hari semasa melaksanakan latihan selaman menggunakan 'Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA)' di perairan Dock Port, Kuantan.

"Sebagai anggota elit Skuadron Perahu Khas (SPK), Allahyarham merupakan seorang anggota yang sangat terlatih dalam kepakaran serangan amfibi dan operasi penyusupan maritim, yang mana latihan seumpama ini merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mengekalkan kemahiran peringkat tinggi," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

TDM juga telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mayat Allahyarham ditemui oleh pasukan rondaan permukaan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia pada 5 Julai, kira-kira pukul 10 pagi.

"Lokasi penemuan dalam jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian. Semua peralatan termasuk kelengkapan selaman CCBA dan senjata M4 ditemui lengkap bersama mangsa," katanya.

Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk proses bedah siasat dan pihak TDM telah menguruskan penghantaran pulang jenazah ke kampung halamannya di Semporna, Sabah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia C130 dari Pangkalan Udara Kuantan ke Tawau pada 7.30 malam semalam.

Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gusung Melanta Tesi, Pulau Bum Bum, Semporna pada pukul 2.30 pagi tadi.

Justeru, TDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu, serta menyeru semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga Allahyarham dalam menghadapi waktu sukar ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta turut berdukacita atas kehilangan seorang warganya yang sangat terlatih.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN