KUALA LUMPUR, 6 Julai- Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan penuh menerima kehadiran delegasi antarabangsa, bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, segala persiapan logistik dan kandungan mesyuarat telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu dan kini berada di peringkat akhir.
Mesyuarat kumpulan kerja telah pun dimulakan, manakala pertemuan ketua-ketua pegawai kanan akan berlangsung bermula esok.
"Segala aspek logistik telah mencapai tahap 100 peratus. Kita yakin mesyuarat ini dapat dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama erat daripada semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyampaikan taklimat media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara hari ini.
Datuk Seri Amran turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mandat agar Malaysia melaksanakan Kepengerusian ASEAN 2025 dengan cemerlang merangkumi pelbagai aspek.
"Fokus utama kita adalah memastikan setiap delegasi dan rakan dialog ASEAN mendapat pengalaman terbaik sepanjang berada di Malaysia," katanya.
Mesyuarat kali ini juga penting bagi membincangkan langkah-langkah pelaksanaan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada Mei lalu, termasuk resolusi daripada sidang bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Ini merupakan platform untuk meneruskan kerjasama strategik dan memastikan keputusan-keputusan sidang kemuncak dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin," katanya lagi.